Telinga ditabir sunyi
Bukan sebelah telinga saja tapi kedua-duanya. Asal niat suci murni kerana rasa telinga tak berapa selesa tapi mengundang pengalaman lain dari biasa.Kalau sebelum ini telinga super clear nyaring dan elok kekuatan bunyinya anugerah dari ilahi, bila jadi ini memang insaf, suara auto perlahan,dengar tak berapa dengar dan berdesing telinga. Itu tak termasuk rasa 'kedap' dikedua-dua belah telinga yang buat rasa tak selesa tak tentu masa.
Rasa pilu bila anak panggil 'ibu' tapi aku rasa sayup-sayup saja suara kecil mereka.Jiwa ibu yang sebelum ini peka dengan bunyi sekitar keberadaan anak-anak di rumah atau diluar menjadi amat terbatas sekali. Risau sebab tidak lagi se'peka' dahulu untuk mendengar riuh suara mereka, jeritan dan suara panggilan mereka jika mereka berjauhan dari kita. Suara suami yang belum ini menjadi halwa telinga dan pasangan berlawan cakap kerap juga terlepas apa yang dibualkan dia pada aku. Ada satu ketika suami ajuk buat Bahasa isyarat dan buat gerak mulut lambat-lambat untuk aku tangkap apa yang dicakapnya. Gurau kasar tapi itulah ragam komunikasi laki-bini yang buat bahagia. Hanya Allah swt sahaja tahu betapa sayu rasa hati bila pendengaran diuji.
Nikmat tuhan manakah yang kau dustakan.
Pengalaman memandu juga amat terkesan, pandangan mata menjadi lebih dominan berbanding pendengaran sekitar. Peka dengan simbol sekitar lebih daripada bunyi kerana hendak pastikan memandu dalam keadaan selamat. Si kecil dikerusi sebelah dan si kakak dibelakang dikerling sela masa yang lebih dari biasa kerana bunyi sebelum yang biasa didengar tidak menembusi telinga.
Nikmat tuhan manakah yang kau dustakan.
Kunci penggera masa untuk bangun pagi menjadi sesuatu yang tidak mungkin. Awal hari diuji masalah ini rutin kunci penggera masa seperti biasa dan hasilnya terlajak bangun keesokkan harinya sebab tak dengar langsung bunyi penggera.
Nikmat tuhan manakah yang kau dustakan.
Tiap malam terjaga diawal pagi kerana rasa tidak selesa ditelinga dan hidung. Badan auto terbangun dan bila tengok jam perasan diri yang baru terlelap 2-3 jam, teringat pesan ustaz ustazah untuk panjatkan doa kepada Allah swt. Mudahan diperkenankan asbab waktu bersunyi-sunyian. Satu lagi, bila bermasalah telinga, hidung juga turut sekali terkesan. Rasa tidak seimbang dan juga deria bau juga tak perform. Deria bau tak se'tajam' sebelum ini, memang syahdu ooo.. bila suami masak terpaling sedap tapi deria di lidah ini proses rasa ke otak hanya 'loading' 70% saja.
Nikmat tuhan manakah yang kau dustakan.
Alhamdulillah, usaha sabar menahan ketidakselesaan ditempuhi dan akhirnya menyerahkan pada yang ahli untuk bantuan. Dimulai dengan cucian 'suction' di telinga kiri dan kemudiaannya telinga sebelah kanan menggunakan tiub halus yang macam 'suction'baby di wad untuk buang phglem.Bahang angin panas dari tiub terasa ke dinding telinga,berderau rasa tapi redah juga.Doa Nabi Yunus dan selawat keatas baginda Nabi Muhammad SAW, Ya Rasululah. Aku hamba yang lemah lagi berbuat zalim. Suara doktor pelan-pelan jelas kedengaran tak seperti sebelum ini, MasyaAllah Subahanallah Maha Suci Allah swt yang mengizinkan dan mengembalikan nikmat pendengaranku kepada keadaan asal.
Nikmat tuhan manakah yang kau dustakan.

Comments
Post a Comment